Wan Junaidi, Speaker Parlimen Ghana Adakan Mesyuarat Dua Hala

Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
06/10/2023 11:34 AM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Speaker Parlimen Ghana Alban Sumana Kingsford Bagbin di luar Persidangan Parlimen Komanwel ke-66, di Ghana pada Khamis.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dalam pertemuan itu, Bagbin menggalakkan penyertaan Malaysia dalam sektor ekonomi dan pelaburan di Ghana selain meningkatkan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Bangbin turut mengucapkan penghargaan kepada Wan Junaidi yang mengetuai delegasi Malaysia di persidangan tersebut atas penyertaan yang konstruktif.

Sementara itu, Wan Junaidi menyampaikan penghargaan kepada Bangbin dan jawatankuasa penganjur kerana telah menyediakan platform kepada Malaysia untuk mengambil bahagian dan menyumbang secara aktif selain memberikan sambutan dan hospitaliti yang mesra.

Mesyuarat dua hala itu adalah pertemuan pertama antara Wan Junaidi dan Bangbin sejak dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, pada Jun lepas.

Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta dua Ahli Dewan Negara Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Isaiah D Jacob.

Persidangan Parlimen Komanwel ke-66 di Ghana berlangsung dari 30 Sept hingga 6 Okt.

-- BERNAMA