Usah Selesa, Mulakan Persediaan Ke Aichi-nagoya 2026 - Kim Fatt
KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Semua pihak termasuk pemegang taruh tidak boleh berasa selesa meskipun prestasi kontinjen negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 adalah positif dan memuaskan.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt berkata semua pihak yang terlibat, perlu mengorak langkah merancang dan memulakan persediaan untuk edisi Aichi-Nagoya 2026.
“Sukan Asia seterusnya tidak lama lagi, kita harus serius dan bertanggungjawab. Sekiranya kita nak capai prestasi lebih baik, kita perlu mula membuat perancangan sekarang dan melaksanakannya menjelang awal tahun depan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada Sukan Asia Hangzhou di China, Malaysia meraih enam emas, lapan perak dan 18 gangsa untuk menamatkan saingan di tempat ke-14 keseluruhan.
Kim Fatt berkata, antara perkara yang ditekankan oleh wakil persatuan sukan pada bengkel pascanilai Sukan Asia semalam adalah pembangunan atlet pelapis supaya Malaysia tidak ketandusan bakat untuk temasya antarabangsa pada masa depan.
“Sebagai contoh, jika pemenang pingat emas acara dressage individu sukan ekuestrian Qabil Ambak Mahamad Fathil, 43, sudah bersara, siapa yang nak gantikan beliau? Kesinambungan dalam pembangunan bakat harus diteruskan supaya terus mempunyai wakil yang mampu memberi cabaran,” katanya.
Mengenai bengkel pascanilai selama lebih kurang lapan jam itu, beliau berkata laporan lengkap akan disediakan selepas perbincangan dengan wakil dari Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU), Jepun yang turut terlibat dengan bengkel itu.
Menurutnya, penglibatan NSSU penting untuk memberikan pendapat dan cadangan penambahbaikan dari sudut bebas supaya semua pihak terlibat terutamanya Majlis Sukan Negara (MSN) dapat memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dan mendapat perspektif serta pendekatan baharu.
Kim Fatt berkata kem badminton yang hanya meraih sebutir gangsa menerusi acara beregu lelaki (Aaron Chia-Soh Wooi Yik), mengakui bahawa prestasi mereka di Sukan Asia tidak seperti diharapkan, namun beliau percaya sukan itu kekal sebagai prospek pingat untuk Olimpik Paris 2024.
Bagi pasukan hoki lelaki yang gagal mencapai sasaran emas mereka selepas tersingkir pada peringkat kumpulan, beliau berkata penjelasan telah diterima, selain memuji semangat juang pemain.
“Prestasi kita pada temasya kali ini adalah ketiga terbaik di ASEAN selepas Thailand dan Indonesia. Tapi dari segi nisbah atlet setiap pingat, kita lebih baik,” katanya sambil menambah Malaysia mencatatkan nisbah yang baik apabila meraih enam pingat emas daripada lebih 280 atlet terlibat.
Sebagai perbandingan, Indonesia yang menghantar lebih 400 atlet meraih tujuh emas, manakala Thailand dengan kekuatan lebih 900 atlet merangkul 12 butir emas.
Justeru, beliau berkata pendekatan Jawatankuasa Pemilihan untuk hanya menghantar atlet terbaik sahaja beraksi di temasya itu, sangat efektif.
-- BERNAMA