Mbi Rangkul Dua Anugerah, Pengiktirafan Untuk Ipoh

Kredit foto: FB Majlis Bandaraya Ipoh
09/11/2023 08:12 PM

IPOH, 9 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencipta dua kejayaan membanggakan apabila Ipoh menerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar menerusi Malaysia Urban Planning Awards (MUPA) dan pemenang bagi Anugerah Pencapaian Perancangan Cemerlang dalam Commonwealth Association of Planner (CAP) Awards. 

MBI dalam kenyataannya hari ini memaklumkan sebagai penerima Anugerah Penafaran Bandar Pintar, MBI akan menerima geran peruntukan khas RM 200,000 bagi projek inisiatif Bandar Pintar daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Status penerima awal Bandar Pintar ini akan menjadi permulaan kepada bandar raya Ipoh untuk mengembangkan lagi statusnya ke arah Bandar Pintar Berwawasan 2030,” menurut kenyataan itu. 

Kredit foto: FB Majlis Bandaraya Ipoh

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin menerima geran peruntukan khas tersebut daripada Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib di Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, kejayaan merangkul Anugerah Pencapaian Perancangan Cemerlang adalah hasil kerjasama MBI dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan Malaysian Institute of Planner.

Menurut kenyataan itu MBI merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) dari seluruh Malaysia menerima anugerah tersebut setakat ini.

Kredit foto: FB Majlis Bandaraya Ipoh

“Pengiktirafan antarabangsa itu diberikan untuk pencapaian perancangan cemerlang di seluruh negara Komanwel dalam usaha menampilkan contoh terbaik dari segi amalan perancangan bandar,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, MBI mempertandingkan ‘Concubine Lane’ di bawah tajuk ‘Rejuvenation Of Concubine Lane’ kategori Perancangan Pemuliharaan bagi Binaan dan Alam Semula Jadi dan Warisan Budaya sebagai inisiatif membangunkan semula dan penambahbaikan. 

Menurut MBI pengiktirafan itu sekali gus membawa impak positif dan faedah ketara kepada PBT itu di peringkat tempatan dan antarabangsa, selain dijangka memberi kesan positif kepada pertambahan bilangan pelancong dan pulangan kadar sewaan tinggi kepada pemilik bangunan. 

Kredit: Majlis Bandaraya Ipoh

"Peningkatan kadar sewaan kedai lama dua tingkat di Concubine Lane ada yang mencecah hingga RM7,900 sebulan sekali gus menjamin kestabilan serta pemuliharaan bangunan lama dapat dilakukan. 

"Kewujudan kafe hipster yang tumbuh di sekitar Concubine Lane telah meletakkan Ipoh sebagai destinasi keenam paling menarik oleh Lonely Planet," menurut kenyataan itu. 

Anugerah disampaikan sendiri Presiden CAP Eleanor Mohammed dalam Kongres Perancangan Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Kompleks Persidangan Perbadanan Putrajaya, semalam.

--BERNAMA