Aaron Dinobat Olahragawan, Sydney Olahragawati Melaka 2021/2022
MELAKA, 19 Nov (Bernama) -- Pemain badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia Teng Fong dan atlet wushu wanita Sydney Chin Sy Xuan masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Melaka 2021/2022 pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka kali Ke-38 di sini hari ini.
Aaron Chia, 25, menewaskan tiga lagi atlet kebangsaan iaitu Tan Zhi Yan, 22, (wushu), Jonathan Wong Guanjie,30, (menembak) dan Juwaidi Mazuki, 32, (memanah) serta atlet muay Thai, Wan Muhammad Sabri Wan Mohd Zuki, 20.
Pemilihan Aaron Chia yang merupakan anak jati Melaka dari Batu Berendam itu berdasarkan kejayaan dan pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa antaranya memenangi gangsa pada Olimpik Tokyo 2020, pingat emas Kejohanan Dunia 2022 Jepun, pingat gangsa dan emas di Sukan Komanwel 2022 Birmingham.
Manakala Sydney, 24, yang merangkul pingat gangsa pada Sukan Sea Hanoi 2021 dalam acara taijiquan menewaskan dua pesaing terdekatnya iaitu atlet wushu Tammy Tan Hui Ling, 22, dan pemain badminton Toh Ee Wei, 23.
Kedua-duanya menerima anugerah menerusi wakil mereka yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan membawa pulang membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM3,000, trofi iringan pemenang dan sijil penghargaan.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) V.P. Shanmugam.
Dalam pada itu, Aaron turut menerima hadiah insentif wang tunai keseluruhan sebanyak RM23,000 selepas memenangi dua pingat gangsa dalam kejohanan Badminton Dunia Copenhagen, Denmark dan Temasya Sukan Asia 2023, Hangzhou China baru-baru ini.
Turut menerima insentif kemenangan Temasya Sukan Asia 2023 ialah atlet wushu Tan Cheong Min yang memenangi pingat perak sebanyak RM25,000 dan Juwaidi yang memenangi gangsa dalam acara memanah sebanyak RM15,000.
Selain itu atlet berbasikal Muhammad Hafiq Mohd Jafri,18, dan atlet angkat berat Nurul Syasya Khairina Syamsur,14, dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati harapan Negeri Melaka.
Sementara itu Ab Rauf dalam ucapannya berkata penganjuran Anugerah Sukan Negeri itu adalah bertujuan memberi pengiktirafan dan suntikan semangat kepada para penggiat sukan kerana telah bertungkus lumus dan berkorban masa demi melakarkan kejayaan dan mengharumkan nama Melaka yang tercinta.
"Ini juga membuktikan kerajaan negeri sentiasa menghargai kejayaan yang dicapai oleh para atlet dan pegawai sukan dan semoga kejayaan ini menyuntik semangat dan merangsang atlet muda dan pegawai sukan meneruskan cabaran di kejohanan-kejohanan sukan lain pada masa hadapan," katanya.
Pada majlis itu sebanyak sembilan kategori Anugerah Sukan Negeri Melaka yang telah disenaraikan oleh Majlis Sukan Negeri Melaka bagi menghargai pencapaian penggiat sukan termasuk pasukan terbaik yang dirangkul pasukan Hoki Lelaki Melaka.
-- BERNAMA