JONATHAN, AZREEN UNGGULI 100M VTF 2023 GRAND FINAL

Jonathan Nyepa
19/11/2023 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Dua atlet olahraga negara, Jonathan Nyepa dan Azreen Nabila Alias masing-masing mengungguli acara 100 meter (m) Diamond lelaki dan wanita akhir pada kejohanan olahraga Grand Final Varsity Track & Field (VTF) 2023 di sini, hari ini.

Jonathan yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan selaku raja pecut dengan merakam masa terpantas 10.66 saat (s) pada saingan yang berlangsung di Arena Universiti Malaya (UM) itu.

Pingat perak dimenangi atlet Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muhammad Fakhrul Abdul Aziz selepas merakam 10.76s dan gangsa menjadi milik Muhammad Aqil Yasmin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan masa 10.84s.

Azreen Nabila Alias (left).

Bagaimanapun, Jonathan suka dalam duka kerana berjaya mempertahankan emas yang dimenangi tahun lalu tetapi gagal memecahkan rekod kejohanan miliknya.

“Sebenarnya sasaran utama saya nak pecah rekod saya sendiri 10.51s, tetapi saya tetap berpuas hati dengan pingat emas dan bersyukur mampu mempertahankan pingat ini untuk UPM,” kata atlet berusia 27 tahun itu kepada pemberita selepas final.

Menurutnya, untuk mencapai puncak prestasi pada penghujung musim agak mencabar sekali gus mempengaruhi kegagalannya untuk memperbaharui catatan 10.51s.

Sementara itu, dalam saingan wanita menyaksikan Azreen yang beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 menambah keceriaan UPM apabiladinobatkan sebagai ratu pecut selepas merakam 12.37s.

Biarpun catatan itu jauh daripada masa terbaik 11.77s yang dilakukan di Tokyo, ia sudah cukup untuk mengatasi pesaing utama dan rakan sepasukan Nor Sarah Adi yang mencatat 12.62s di tempat kedua manakala Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) 12.70s.

“Kejayaan ini ibarat menebus kekecewaan menduduki nombor dua tahun lepas kalah kepada Zaidatul Husniah Zulkifli, tetapi tahun lepas lagi okay sebab ramai saingan jadi boleh ‘push untuk buat masa yang lebih baik, tahun ini kurang saingan,” kata atlet berusia 23 tahun itu.

Dalam pada itu, jaguh lompat kijang Andre Anura Anuar', yang juga mewakili UPM, menepati ramalan merangkul pingat emas dengan mencipta rekod baharu kejohanan selepas melakukan lompatan 15.90m.

Beliau yang mara ke final acara sama pada Sukan Asia Hangzhou 2022 bulan lalu, menewaskan Muhammad Sunik Muslimin dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di tempat kedua (15.41m) dan wakil Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhd Razif Ismail ketiga (14.09m).

Kejohanan olahraga Varsity Track & Field 2023 Grand Final yang membuka tirainya Jumaat lepas berakhir hari ini.

-- BERNAMA