TANG JIE-EE WEI, LIEK HOU-FAREEZ CALON REBUT ANUGERAH PEMAIN TERBAIK BWF

Credit: Badminton World Federation (BWF)
21/11/2023 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Beregu campuran Malaysia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dicalonkan dalam kategori Pemain Paling Meningkat Tahunan dalam Anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) tahun ini.

Gandingan di ranking kesembilan dunia itu dicabar Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China dan beregu lelaki Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam kategori sama, menurut BWF dalam kenyataan hari ini.

Pasangan negara yang masing-masing berusia 25 dan 23 tahun itu meraih dua kejuaraan Jelajah Dunia Super 300 musim ini iaitu Masters Orleans dan Terbuka Taiwan.

Credit: Badminton World Federation (BWF)

Juara perseorangan Paralimpik Cheah Liek Hou merupakan calon kategori Pemain Lelaki Badminton Para Terbaik Tahunan.

Daiki Kajiwara (Jepun), Lucas Mazur (Perancis) dan Kim Jung Jun (Korea Selatan) juga disenarai pendek dalam kategori sama dengan Liek Hou.

Liek Hou turut tercalon dalam kategori Pemain Badminton Beregu Para Terbaik Tahunan bersama gandingannya Muhammad Fareez Anuar bersama pesaing mereka iaitu beregu wanita Jepun Sarina Satomi-Yuma Yamazaki dan tiga beregu Indonesia - Hikmat Ramdan-Leani Ratri Oktila (beregu campuran), Subhan Subhan-Rina Marlina (beregu campuran), Leani Ratri Oktila-Khalimatus Sadiyah (beregu wanita).

Sementara itu, juara dunia perseorangan lelaki Kunlavut Vitidsarn dari Thailand dan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark akan bersaing dalam kategori Pemain Lelaki Terbaik Tahunan dengan seorang lagi pemain dari Korea Selatan Seo Seung Jae.

Calon-calon bagi kategori Pemain Wanita Terbaik Tahunan pula menyaksikan saingan sengit antara tiga pemain terbaik dunia iaitu An Se Young (Korea Selatan), Akane Yamaguchi (Jepun) dan Chen Yu Fei (China).

"Calon-calon dikenal pasti oleh Majlis BWF dan dipilih berdasarkan persembahan semasa musim 2022/2023 dari 1 Nov 2022 hingga 31 Okt 2023. Pemain Paling Berbakat (Anugerah Eddy Choong) akan diketahui pada majlis itu nanti,” menurut kenyataan itu.

Pemenang-pemenang akan diumumkan pada Jelajah Dunia BWF Hangzhou, China yang akan berlangsung pada 13 hingga 17 Dis ini.

-- BERNAMA