Nickhileswar Sasar Separuh Akhir Di Terbuka Remaja British

M. Nickhileswar
02/01/2024 11:03 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Pemain muda sedang meningkat naik, M. Nickhileswar meletakkan harapan untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir pada kejohanan skuasy Terbuka Remaja British (BJO) di Birmingham bermula esok hingga 7 Jan.

Pemain berusia 16 tahun itu berkata beliau membuat persiapan rapi untuk membuka kempen kategori bawah 17 tahun lelaki, menentang pemain pada pusingan pertama kelayakan di Solihull Arden Club, esok.

Nickhileswar, yang berkemungkinan besar menentang Abdullah Nawaz dari Pakistan pada suku akhir, mengakui kelebihan fizikal dimiliki peserta lain menjadi cabaran buatnya untuk memberikan saingan.

“Saya telah berlatih bersungguh-sungguh dan tahun ini agak susah kerana berjumpa pemain yang lebih besar. Jadi, saya telah meningkatkan latihan kecergasan dan yakin mampu beraksi dengan baik untuk beri saingan sengit,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pemain berasal dari Pulau Pinang yang diletakkan sebagai pilihan kelima/kelapan kejohanan itu, berkata setiap aksi di BJO adalah sukar kerana tahap perlawanan yang pantas memerlukan beliau sentiasa waspada.

Nickhileswar, yang membuat penampilan kelima di BJO, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat bagi kategori bawah 15 tahun pada 2023, selepas meraih gelaran juara kategori bawah 11 tahun pada edisi 2019.

Selain Nickhileswar, Malaysia turut akan diwakili oleh Aqil Mirza Naim Khairil Fariz dan Kreethi Pillay pada undian utama bagi kategori bawah 17 tahun lelaki BJO kali ini.

-- BERNAMA