68 Atlet Sertai Pemilihan Skuad Pelapis Karate Kebangsaan

Kredit : FB Malaysia Karate Federation - MAKAF
29/01/2024 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mula mengorak langkah dengan mengenal pasti bakat baharu yang bakal menjadi sandaran utama bagi menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand dan edisi 2027 di Malaysia.

Sebanyak 68 atlet dinilai pada sesi pemilihan program pelapis kebangsaan pada hujung minggu lepas di Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usaha mencari wira dan wirawati masa depan itu.

Presiden MAKAF Datuk Nur Azmi Ahmad berkata daripada jumlah itu sebanyak 26 atlet iaitu 16 atlet Kumite (tarung) dan 10 Kata (seni) berusia 20 tahun ke bawah akan dipilih untuk ditempatkan dalam skuad program pelapis kebangsaan.

Kredit : FB Malaysia Karate Federation - MAKAF

“Atlet pembangunan dari semua negeri hadir untuk pemilihan itu kecuali Kelantan. Antara kriteria utama yang dinilai adalah ketangkasan mereka bertarung, skil dan ketinggian. 

“Kemungkinan besar 30 hingga 40 peratus atlet ini akan mendapat peluang untuk beraksi di Sukan SEA nanti. Namun, kita akan hantar mereka ke kejohanan seperti Terbuka Indonesia dan Thailand dahulu untuk pendedahan serta penilaian,” katanya kepada Bernama.

Nur Azmi berkata pemilihan skuad pelapis, yang bakal menggantikan atlet senior yang bersara, akan dimuktamadkan ketika mesyuarat Exco MAKAF dalam masa terdekat, manakala kos untuk pengendalian pasukan itu ditanggung MSN.

Kredit : FB Malaysia Karate Federation - MAKAF

Skuad karate negara mempamerkan prestasi membanggakan pada 2023, apabila meraih tempat kedua keseluruhan pada Sukan SEA Kemboja dengan merangkul empat pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Pada Sukan Asia Hangzhou pula, skuad negara meraih sebutir emas dan dua perak untuk muncul kontinjen keempat terbaik di gelanggang karate.

-- BERNAMA