SIMPTOM PERIKARDITIS PAKSA AZIZULHASNI TARIK DIRI ACARA PECUT

04/02/2024 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) - Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terlepas peluang untuk menambah kilauan pingat pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia hari ini apabila terpaksa menarik diri daripada acara pecut akibat simptom perikarditis.

Atlet berusia 36 tahun itu terpaksa meninggalkan saingan penentuan pingat gangsa berdepan pelumba tuan rumah yang juga juara dunia 2018 Matthew Glaetzer, selepas mengalami simptom itu usai pusingan separuh akhir.

Pocket Rocketman itu, yang merangkul emas dalam acara kegemarannya keirin semalam, berkata beliau dinasihati supaya menarik diri bagi mengelakkan terlalu membebani jantungnya.

"Meskipun (berdepan) cabaran-cabaran ini, ia adalah hari yang produktif selepas perlumbaan keirin semalam dan saya berikan yang terbaik dalam pecut hari ini. Saya berterima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua pihak dan saya minta maaf kerana tidak dapat menghabiskan perlumbaan.

"Sekarang, fokus saya adalah pada pemulihan dan saya akan kembali berlatih secepat mungkin sebaik sahaja saya cergas semula. Terima kasih semua kerana memahami dan memberi galakan," katanya menerusi hantaran di platform media sosial.

Perikardirtis ialah radang tisu perikardium (selaput berisi cairan yang menyelaputi jantung) yang menyebabkan kesakitan pada dada.

Beliau yang menewaskan Jack Carlin dari Britain dalam suku akhir,  terlepas peluang ke final selepas diketepikan atlet Australia Matthew Richardson pada peringkat peringkat seterusnya.

Juara Sukan Asia Hangzhou Kaiya Ota dari Jepun meraih emas selepas menumpaskan Richardson dalam pusingan akhir.

Seorang lagi wakil negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang mengalami kecederaan susulan kemalangan ketika latihan pada 23 Jan lepas, tersingkir pada pusingan kelayakan selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-32 dengan catatan masa 10.150 saat. (Hanya 28 terbaik mara ke pusingan seterusnya).

Sementara itu, Anis Amira Rosidi dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terkandas sekadar di pusingan pertama dalam acara keirin wanita.

-- BERNAMA