Sukan Asia 2026: Ainagoc Lulus Cadangan Lapan Emas Oleh Astaf

Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kader (Gambar fail)
22/02/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya, 2026 (AINAGOC) di Jepun telah meluluskan cadangan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) yang mahu lapan pingat emas ditawarkan bagi acara sepak takraw pada temasya sukan tersebut.

Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata lapan pingat emas ditawarkan itu merangkumi empat acara kategori lelaki (regu berpasukan, antara regu, beregu dan kuadran/berempat), tiga kategori wanita (regu berpasukan, beregu dan kuadran) dan kuadran campuran yang merupakan acara baharu di Sukan Asia 2026 dijadual berlangsung dari 19 Sept-4 Okt.

“Lapan pingat emas yang ditawarkan ini sudah disahkan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya ( AINAGOC ) dan hanya memerlukan sokongan Majlis Olimpik Asia (OCA) pada mesyuaratnya dalam tiga bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas  mengadakan kunjungan ke atas Setiausaha Agung AINAGOC, Murate Satoshi di Nagoya, semalam.

Katanya, ASTAF bertolak ansur dalam rundingan dengan AINAGOC yang menolak acara antara regu wanita dipertandingkan sebaliknya rela menerima kuadran campuran kerana menganggap peluang pingat tuan rumah dalam acara baharu tersebut lebih cerah.

Abdul Halim berkata Jepun sebagai tuan rumah dibenarkan menyertai kesemua acara manakala negara lain cuma boleh memilih dua daripada setiap kategori dengan pengecualian diberikan kepada kuadran campuran yang terbuka untuk semua.

Kuadran campuran diperkenalkan sebagai cabang baharu sepak takraw mulai Piala Raja Thailand 2022 di Bangkok, Thailand.

-- BERNAMA