Sivasangari Hampir Ketepikan Juara Bertahan Cleveland

S. Sivasangari
10/03/2024 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Hasrat ratu skuasy negara S Sivasangari untuk melangkah ke final Kejohanan Cleveland 2024 tidak kesampaian apabila tewas kepada lawannya dari Georgina Kennedy dari England di separuh akhir, malam tadi.

Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 yang menduduki ranking ke-16 dunia mempamerkan aksi meyakinkan apabila bangkit selepas ketinggalan dua set sebelum akur 11-13, 8-11, 14-12, 11-6, 9-11 kepada pemain yang berada di ranking keenam dunia itu.

Kennedy mengakui terpaksa meningkatkan tahap intensiti dalam perlawanan yang berlangsung selama 64 minit, khususnya ketika set penentuan.

“Ia sesuatu yang sukar. Saya bercakap dengan Sivasangari selepas perlawanan, bahawa dalam perlawanan ini tiada siapa antara kami harus kalah. Saya lega dan bertuah kerana mendapatkan mata kemenangan.

“Ketika saya mendahului 2-0, saya rasa tidak selesa - dalam fikiran saya dapat rasakan dia (Sivasangari) akan bangkit dan itu pastinya kamu pun tidak mahu mendengarnya.

“Saya berpura-pura yang saya sentiasa positif tapi perkara itu tetap bermain di fikiran saya,” katanya dalam kenyataan oleh Persatuan Skuasy Profesional (PSA) hari ini.

Wakil England itu akan berdepan pilihan kedua kejohanan Nour El Tayeb pada aksi final hari ini, selepas wakil Mesir itu mengetepikan Olivia Weaver dari Amerika Syarikat dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam.

Sementara itu, Sivasangari dalam hantaran di laman X miliknya hari ini, mengakui kecewa tidak memenangi perlawanan semalam walaupun hampir mengejutkan juara bertahan.

“Sangat kecewa tidak menang malam ini, walaupun sudah hampir melakukannya,” katanya.

-- BERNAMA