Muhammad Haiqal Tekad Rebut Kembali Tempat Dalam Kuartert 4x100m

Muhammad Haiqal Hanafi
14/03/2024 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Setelah berehat panjang susulan kecederaan buku lali tahun lepas, jaguh pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi tekad merebut kembali tempatnya dalam kuartet 4x100 meter (m) kebangsaan.

Juara 100m Sukan SEA 2019 berusia 25 tahun itu mengakui agak ketinggalan selepas kecederaan dialaminya pada Julai tahun lepas, dan yakin mampu bangkit kepada prestasi sebenar tidak lama lagi.

“Saya tekad mahu buat kemunculan semula pelahan-lahan walaupun saya sudah ketinggalan banyak kejohanan dan prestasi saya merosot. Tapi saya percaya pada diri, saya akan muncul kembali.

“Kita ada nama hebat dalam acara pecut, tapi saya perlu percaya pada diri sendiri, percaya pada jurulatih sebab mereka yang latih. Ikut program diberikan dan selebihnya tawakal. Kalau layak untuk relay, alhamdulillah, kalau tidak kita tambah baik,” katanya ketiak ditemui baru-baru ini.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu mengalami kecederaan di buku lali ketika menjalani latihan dan berehat lama selain terpaksa melupakan penyertaannya di Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand dan Sukan Asia Hangzhou 2022.

Bagaimanapun, pada 2 Mac lepas, Muhammad Haiqal membuktikan beliau masih berbisa apabila meraih pingat perak acara 100m lelaki dengan catatan masa 10.59 saat (s) di bekalang Jonathan Nyepa (10.47s) untuk pingat emas, manakala gangsa dimenangi Muhammad Arsyad Md Saat (10.64s).

Sementara itu jurulatih pecut negara Muhammad Poad Kassim mengakui Muhammad Haiqal sememangnya menunjukkan peningkatan prestasi sejak kembali menjalani latihan awal tahun ini. 

"Tahun lepas, Haiqal mengalami kecederaan, lama juga dia rehat dan kemudian tiada kejohanan besar. Selepas menjalani rawatan, latihan nampak peningkatan.

“Harap dia terus fokus berlatih dan saya yakin tahun ini dia boleh buat yang terbaik,” katanya.

-- BERNAMA