Sivasangari Buru Gelaran Sulung Klasik London

S. Sivasangari
01/04/2024 10:42 AM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Ratu skuasy negara S. Sivasangari melangkah ke final edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London berlangsung di Alexandra Palace pada Ahad.

Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 itu mempamerkan aksi cemerlang untuk mengetepikan pemain keempat dunia Nele Gilis dari Belgium 10-12, 11-7, 10-12, 11-9 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung lebih satu jam.

Sementara itu, Sivasangari berkata beliau puas hati dengan permainan dipamerkannya sehingga dapat menewaskan Gilis yang disifatkannya sebagai pejuang.

“Saya menang hari ini, saya mengambil sikap positif daripada kemenangan semalam dan percaya pada diri sendiri. Gilis adalah seorang pejuang, dia sentiasa menekan, menggugat mental lawan melalui pukulannya,” katanya.

Pemain di ranking ke-16 dunia itu akan berdepan pemain kedua dunia dari Mesir, Hania El Hammamy di gelanggang final malam ini.

-- BERNAMA