MESIR, QATAR TERIMA MAKLUM BALAS HAMAS MENGENAI CADANGAN GENCATAN SENJATA DI GAZA

Smoke rises from Gaza, amid the ongoing conflict between Israel and the Palestinian Islamist group Hamas, as seen from Israel's border with Gaza. Photo: Reuters/ Amir Cohen
12/06/2024 11:56 AM

ISTANBUL, 12 Jun (Bernama-Anadolu) -- Mesir dan Qatar menerima maklum balas daripada Hamas dan Jihad Islam (Islamic Jihad) berhubung cadangan gencatan senjata serta pertukaran tawanan baru-baru ini, menurut Kementerian Luar Mesir lewat Selasa, lapor Agensi Anadolu.

“Mesir dan Qatar mengesahkan bahawa usaha pengantaraan bersama mereka dengan Amerika Syarikat akan diteruskan sehingga persetujuan dicapai,” menurut kenyataan itu.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menerima pakai resolusi menyokong cadangan gencatan senjata Gaza yang digariskan oleh Presiden AS Joe Biden.

Pada 31 Mei lalu, Biden membentangkan perjanjian tiga fasa yang dicadangkan oleh Israel kepada wakil Palestin, Hamas yang menurutnya akan menamatkan permusuhan di Semenanjung Gaza yang terkepung dan memastikan pembebasan tawanan.

Pelan itu termasuk gencatan senjata, pertukaran tawanan dan pembinaan semula Gaza.

Dalam satu kenyataan bersama, Hamas dan Jihad Islam berkata delegasi bersama dari pergerakan itu telah menyampaikan maklum balas kepada pegawai Qatar semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.

Maklum balas itu turut dihantar kepada pihak berkuasa Mesir.

Menurut kenyataan itu, "maklum balas itu mengutamakan kepentingan rakyat Palestin, menekankan keperluan untuk menghentikan sepenuhnya pencerobohan di Gaza dan pengunduran tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza."

Meskipun Israel berkeras untuk menghentikan serangan secara sementara, pergerakan itu menuntut agar peperangan dihentikan, pengunduran tentera Israel, kepulangan orang yang dipindahkan, bantuan kemanusiaan yang mencukupi dan pembinaan semula Gaza sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian pertukaran tawanan.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu "mengesahkan komitmennya" terhadap cadangan yang dirangka Biden semasa pertemuan mereka pada Selasa.

Delegasi Hamas dan Jihad Islam menyatakan kesediaan mereka "untuk terlibat secara positif" bagi mencapai persetujuan menamatkan perang di Gaza.

Israel berdepan kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023.

Hampir 37,200 rakyat Palestin telah terbunuh sejak itu di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 84,800 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA-ANADOLU