MHC PERLU RM2 JUTA BAGI PERSIAPAN PASUKAN HOKI DALAM DEWAN

Datuk Seri Subahan Kamal (File pix)
15/06/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menganggarkan memerlukan sekurang-kurangnya RM2 juta bagi menampung perbelanjaan dan melicinkan pengurusan persatuan bagi pasukan hoki dalam dewan lelaki yang layak buat julung kalinya ke Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia pada 3 hingga 9 Feb tahun depan. 

Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata peruntukan itu akan turut digunakan sebagai persediaan pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita menghadapi temasya Sukan SEA Thailand 2025 iaitu MHC menyasarkan kedua-dua pasukan berkenaan membawa pulang pingat emas. 

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat. 

"...kita bercakap tentang angka dua juta untuk menjadi kukuh. Ia bukan untuk gaji tetapi untuk persediaan mereka kerana tiket penerbangan mahal. Pasukan hoki dalam dewan ini tiada peruntukan khas malah mereka juga tiada tempat latihan khusus.

“(Namun sekarang) sudah temui lokasi sesuai mungkin di Bukit Jalil dan saya akan berjumpa berbincang dengan Hannah (Yeoh) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam masa terdekat,” katanya dalam Majlis Meraikan Pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Kebangsaan di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Pada majlis itu, pasukan lelaki yang muncul naib juara Piala Asia 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan bulan lepas meraih insentif wang tunai berjumlah RM5,000 bagi setiap pemain, manakala skuad hoki wanita negara yang menamatkan kempen Piala Asia 2024 di Chonburi, Thailand di tempat ketiga menerima RM2,500. 

Sebelum ini, skuad hoki dalam dewan lelaki pernah menyatakan hasrat untuk disenaraikan dalam program latihan Majlis Sukan Negara bagi menghadapi Piala Dunia 2025, yang mampu membantu skuad kebangsaan menjalani persediaan lebih rapi.

-- BERNAMA